KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dipertahankan Pakatan Harapan (PH) bukan bertujuan menjaga kestabilan negara.
“Ini bukan perjanjian persefahaman untuk menjaga kestabilan negara sebagaimana era Datuk Seri Ismail Sabri dulu.
“Ini perjanjian untuk tunduk kepada penipuan dan manipulasi yang dibuat oleh pemimpin PH. Ia ibarat menyerah dan menerima kerosakan pentadbiran yang dilakukan oleh kepimpinan Kerajaan Madani,” dakwanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini susulan polemik CSA menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Afnan Hamimi mendakwa perjanjian itu lebih bermotifkan usaha memanjangkan hayat politik PH yang disifatkannya semakin rapuh.
Menurutnya, tindakan mengaitkan penyaluran peruntukan Ahli Parlimen dengan keperluan menandatangani CSA merupakan satu bentuk ultimatum politik.
“Kami tidak perlukan CSA. Pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen sepatutnya dilaksanakan tanpa syarat,” tegasnya.
Beliau turut mendakwa CSA memperlihatkan kewujudan pakatan politik lebih kukuh antara PH dan BERSATU, meskipun pemimpin parti berkenaan didakwanya sering berdolak-dalik untuk mengesahkannya.
Katanya, Perikatan Nasional (PN) sudah menyatakan pendirian jelas menolak perjanjian tersebut.
Afnan Hamimi turut menyifatkan PRN Melaka sebagai medan untuk rakyat menolak pendekatan politik PH dan BERSATU, selain memperkukuh penyatuan ummah menerusi Muafakat Melaka.
“Rakyat Melaka lebih percayakan penyatuan ummah atas nama Muafakat Melaka. Rakyat Melaka juga menolak perjanjian tempang CSA PH dan BERSATU,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Afnan Hamimi Taib Azamudden


