TEL AVIV – Kedudukan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel semakin tidak menentu apabila parti-parti Arab dilaporkan bersedia menyokong pemimpin pembangkang, Gadi Eisenkot untuk membentuk kerajaan baharu.
Memetik laporan Al Jazeera pada Isnin, parti-parti Arab yang memenangi 19 kerusi dalam pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober lalu dijangka memberikan sokongan kepada blok pembangkang pimpinan Eisenkot.
Perkembangan itu membuka laluan kepada bekas Panglima Tentera Israel berkenaan untuk menggantikan Netanyahu, sekiranya berjaya memperoleh sokongan majoriti di Parlimen.
Menurut agensi berita Anadolu, parti-parti pembangkang Israel telah memutuskan untuk mencadangkan Eisenkot kepada Presiden Isaac Herzog sebagai calon membentuk kerajaan baharu.
Sekiranya semua parti pembangkang dan parti Arab memberikan sokongan, Eisenkot berpotensi memperoleh sokongan 67 daripada keseluruhan 120 anggota Parlimen Israel atau Knesset.
Keputusan pilihan raya menyaksikan gabungan pimpinan Netanyahu hanya memperoleh 53 kerusi, manakala blok pembangkang pimpinan Eisenkot memenangi 48 kerusi.
Dua gabungan parti Arab pula memenangi 19 kerusi, sekali gus menjadikan sokongan mereka penting dalam menentukan pembentukan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, Al Jazeera melaporkan rundingan politik masih berlangsung dan belum ada keputusan muktamad mengenai siapa yang akan mengetuai kerajaan Israel.
Presiden Herzog dijangka mengadakan rundingan dengan pemimpin parti sebelum memilih calon yang akan diberikan mandat membentuk kerajaan.
Calon berkenaan mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk gabungan kerajaan, dengan kemungkinan lanjutan 14 hari.
Sementara itu, dakwaan tular bahawa Eisenkot akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10 November ini masih belum disahkan.
Tarikh tersebut sebenarnya dijadualkan untuk majlis angkat sumpah anggota Knesset yang baharu, bukannya pelantikan Perdana Menteri.
Justeru, masa depan politik Netanyahu masih bergantung kepada hasil rundingan pembentukan kerajaan yang sedang berlangsung. – MYNEWSHUB


