JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani mempersoalkan tindakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad yang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai dangkal dan angkuh.
Beliau menegaskan, keyakinan untuk menang tidak sepatutnya disamakan dengan keangkuhan, apatah lagi apabila Pakatan Harapan (PH) sendiri turut menyatakan keyakinan terhadap kesiapsiagaan jentera mereka.
“Sejak bila keyakinan untuk menang dianggap angkuh? PH sendiri menyatakan keyakinan terhadap kesiapsiagaan jentera mereka. Jika PH boleh yakin, mengapa BN mesti dianggap bongkak? Ukuran yang berbeza ini jelas memperlihatkan sikap dwistandard,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Ahmad Solehin, kenyataan Onn Hafiz merupakan penilaian politik berdasarkan pemerhatian di lapangan, termasuk kekuatan jentera dan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya.
Katanya, mengkritik strategi atau menilai kelemahan lawan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi dan bukan bermaksud menafikan hak mana-mana pihak untuk bertanding.
Beliau turut mengingatkan bahawa keyakinan Onn Hafiz mempunyai asas berdasarkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor Julai lalu apabila gabungan itu menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Ahmad Solehin turut membidas tindakan menyentuh latar belakang keluarga Onn Hafiz kerana menurutnya, Menteri Besar Johor itu wajar dinilai berdasarkan kerja, prestasi dan kepimpinannya, bukannya serangan peribadi.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat PH mengambil iktibar daripada kekalahan lalu, namun pada masa sama perlu menghormati pandangan dan kritikan pihak lawan.
“YAB Menteri Besar Johor boleh dikritik. Tetapi kritiklah dengan fakta dan hujah. Keyakinan bukan keangkuhan. Menghormati demokrasi bermakna menerima bahawa lawan juga berhak menyatakan keyakinan untuk menang.
“Biarlah rakyat Melaka membuat penilaian dan menentukan pilihan mereka,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Into/Foto: Akaun Media Sosial Ahmad Solehin


