KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegur pemimpin negeri-negeri SG4 yang seolah-olah menggambarkan potensi ekonomi negeri berkenaan terbatas akibat perbezaan pentadbiran politik dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengetepikan tanggungjawab membangunkan ekonomi empat negeri SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Menurutnya, sebanyak RM7.70 bilion perbelanjaan pembangunan diperuntukkan kepada negeri-negeri SG4 pada 2025, bersamaan 6.8 kali ganda lebih tinggi berbanding gabungan belanjawan pembangunan keempat-empat negeri berkenaan.
“YB sebagai Menteri, kenalah sokong supaya SG4 berjaya. SG4 pun tanggungjawab Pusat. Betul, saya setuju dan saya sokong,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Akmal Nasrullah berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebanyak 1,487 projek bernilai RM71.52 bilion telah diluluskan untuk negeri-negeri SG4.
Antara projek berimpak ekonomi tinggi termasuk Kedah Rubber City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Kertih Biopolymer Park, Perlis Inland Port serta Chuping Valley Industrial Area.
Katanya, siling peruntukan pembangunan turut meningkat daripada RM7.98 bilion pada 2026 kepada RM8.11 bilion bagi 2027, iaitu tambahan RM130 juta atau 1.6 peratus.
Beliau turut membidas pihak yang mempersoalkan tindakannya membangkitkan sumbangan Kerajaan Persekutuan dengan alasan pembangunan negeri sememangnya tanggungjawab kerajaan Pusat.
“Ya, terima kasih kerana mengakui sememangnya tanggungjawab membangunkan potensi ekonomi di negeri-negeri SG4 ini dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Malangnya, ucapan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin di negeri SG4 dalam forum mereka pula terbalik!” katanya.
Menurut beliau, gambaran bahawa potensi ekonomi SG4 terhalang akibat perbezaan pentadbiran politik tidak selari dengan fakta peruntukan dan projek pembangunan yang dilaksanakan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Nasir


