JOHOR BAHRU – Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang merasai pengalaman istimewa mengetuai sorakan Boys Of Straits (B.O.S) pada perlawanan separuh akhir Piala FA, 8 November depan.
Menerusi pertandingan ‘Lead The B.O.S’, seorang penyokong bertuah akan dipilih untuk berdiri di platform capo dan mengetuai sorakan kumpulan penyokong tegar Harimau Selatan itu sepanjang separuh masa pertama perlawanan.
Menurut hebahan JDT, mereka yang berminat hanya perlu membalas hantaran pertandingan di platform X atau Facebook dengan memuat naik video mempersembahkan sorakan B.O.S.
Penyertaan akan disenarai pendek sebelum pemegang JDT Fan Token diberikan peluang mengundi peserta kegemaran menerusi aplikasi Socios.
Peserta akhir yang memperoleh undian tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang.
Selain peluang mengetuai sorakan dengan bimbingan wakil B.O.S, pemenang turut menerima dua tiket VIP perlawanan untuk dirinya bersama seorang tetamu serta sehelai baju B.O.S.
Bagaimanapun, pertandingan itu menetapkan beberapa syarat khusus kepada pemenang, termasuk mestilah lelaki dan berada dalam keadaan kesihatan fizikal yang baik.
Pemenang juga diwajibkan hadir di Markaz B.O.S, Stadium Sultan Ibrahim, dua jam sebelum sepak mula bagi membuat persiapan.
Penyertaan pertandingan itu akan ditutup pada 30 Oktober ini.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi JDT Fan Token yang dikuasakan oleh Socios.com, sekali gus membuka peluang kepada penyokong merasai sendiri pengalaman memimpin sorakan di stadium. – MYNEWSHUB


