Oleh Mynewshub
Perbadanan logistik makanan nasional Indonesia itu membandingkan kekuatan simpanan berasnya dengan stok penimbal Malaysia yang direkodkan sekitar 200,000 tan.
JAKARTA – Perusahaan Umum Badan Urusan Logistik (Perum Bulog) mengumumkan stok Cadangan Beras Pemerintah (CBP) Indonesia kini mencecah sekitar 4.5 juta tan setakat Oktober 2026, sekali gus mendakwa jumlah itu jauh mengatasi simpanan stok penimbal beras milik Malaysia dan Filipina.
Pengarah Utama Perum Bulog, Ahmad Rizal Ramdhani berkata, jumlah simpanan beras berskala besar yang tersimpan di gudang-gudang seluruh negara itu menjadi modal strategik kerajaan Indonesia bagi menjamin sekuriti makanan domestik.
Menurut beliau, keupayaan mengekalkan paras stok sebanyak 4.5 juta tan itu juga membolehkan kerajaan menstabilkan bekalan serta harga pasaran menjelang peningkatan permintaan sempena musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2026/2027.
“Indonesia semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah negara yang memiliki cadangan beras kerajaan paling kukuh di rantau Asia Tenggara,” katanya di Jakarta hari ini seperti dilaporkan portal Suara Surabaya dan agensi berita ANTARA.
Dalam kenyataan sama, Bulog turut membandingkan angka pencapaian tersebut dengan data simpanan beras negara-negara jiran di Asia Tenggara.
Berdasarkan data yang dikumpulkan Bulog, Malaysia direkodkan memiliki stok penimbal beras nasional berjumlah sekitar 200,000 tan setakat Ogos 2026.
Sementara itu, simpanan beras yang berada di bawah kawalan Pihak Berkuasa Makanan Kebangsaan (NFA) Filipina pula dianggarkan berjumlah 286,500 tan setakat 1 September lalu.
Perbandingan terbuka oleh agensi makanan Indonesia itu dibuat ketika negara-negara ASEAN sedang mempergiat langkah memperkukuh pengeluaran pertanian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan beras import di tengah-tengah ketidaktentuan cuaca serantau. – MYNEWSHUB


