KUALA LUMPUR – Sebanyak RM467,140 kutipan denda direkodkan, manakala 3,638 jam hukuman khidmat masyarakat dijatuhkan terhadap individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil merata-rata.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 8,960 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di tujuh negeri sepanjang Januari hingga September tahun ini di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menurutnya, hasil operasi berkenaan, sebanyak 17,145 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan.
“Pendekatan ini menggabungkan ketegasan undang-undang dengan pendidikan sivik bagi meningkatkan tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Kor Ming menegaskan, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bukan sekadar menghukum pesalah, sebaliknya bertujuan mendidik mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
“Kebersihan mencerminkan ketamadunan. Inilah komitmen KPKT untuk memastikan Malaysia kekal bersih, mampan dan bermaruah.
“Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan mendidik pesalah supaya memahami bahawa menjaga kebersihan awam ialah tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPKT akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kebersihan negara terus terpelihara sekali gus memberikan imej positif kepada pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia. – MYNEWSHUB


