KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan melaksanakan strategi pengekalan doktor yang komprehensif susulan peletakan jawatan 3,510 pegawai perubatan antara 2024 hingga 2026, termasuk 1,252 doktor berjawatan tetap.
Presidennya, Dr Sivanaesan Letchumanan berkata, angka itu amat membimbangkan dan membuktikan jaminan pekerjaan tetap semata-mata tidak mencukupi untuk mengekalkan doktor dalam perkhidmatan awam.
“Kita perlu menangani punca doktor meninggalkan perkhidmatan awam, bukannya sekadar menggantikan mereka yang telah berhenti,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, MMA menggesa kerajaan menyemak gaji, elaun dan bayaran tugas atas panggilan supaya setimpal dengan tanggungjawab, waktu bekerja serta tuntutan profesional doktor.
Persatuan itu turut menuntut laluan kenaikan pangkat lebih telus, peluang kemajuan kerjaya yang adil dan pengiktirafan terhadap pengalaman serta kelayakan pegawai perubatan.
Selain itu, MMA mahu tempat latihan kepakaran yang dibiayai melalui program Sarjana dan Laluan Paralel ditambah, dengan proses pemilihan berasaskan merit serta pengurangan halangan pentadbiran.
Kerajaan juga digesa menangani beban kerja berlebihan melalui penambahan petugas, pengagihan tugas lebih saksama dan waktu bekerja munasabah.
Aspek kesejahteraan doktor termasuk rehat mencukupi selepas syif, jadual tugas lebih teratur dan keseimbangan kehidupan dengan pekerjaan turut perlu diberi perhatian.
Sivanaesan menegaskan semua langkah itu mesti disertakan garis masa pelaksanaan jelas, peruntukan kewangan khusus dan sasaran yang boleh diukur.
“Pengambilan doktor tanpa usaha mengekalkan mereka ibarat pintu pusingan yang tidak pernah berhenti.
“Malaysia tidak mampu terus kehilangan doktor sedangkan mereka yang masih berkhidmat terpaksa menanggung beban kerja yang semakin berat,” katanya.
Beliau menegaskan usaha mengekalkan doktor bukan sekadar melindungi profesion perubatan, malah penting bagi menjamin penjagaan pesakit dan masa depan sistem kesihatan awam negara. – MYNEWSHUB


