KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan beliau kini hampir mempunyai wang mencukupi untuk membayar ganti rugi dan kos mahkamah berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas berjaya menjual motosikal kesayangan serta ikan ternakannya.
Menerusi hantaran di media sosial, Muhamad Akmal berkata, motosikal Honda X-ADV miliknya berjaya dijual pada harga RM150,000 manakala keseluruhan ikan dalam kolam ternakannya menghasilkan hampir RM30,000.
“Alhamdulillah, motosikal X-ADV kesayangan saya telah dapat dijual dengan harga RM150,000 dan jualan keseluruhan ikan dalam kolam saya telah mengumpul hampir RM30,000. Menjadikan jumlah keseluruhan jualan kepada RM180,000.
“Pada masa yang sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga Insya-Allah boleh mencukupkan kepada RM300,000 menjelang minggu hadapan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Akmal mendedahkan beliau turut menerima sumbangan orang ramai berjumlah RM173,733.61 walaupun sebelum ini sudah meminta mereka tidak berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak berhasrat menggunakan wang sumbangan berkenaan untuk membayar saman, sebaliknya mahu menginfakkan keseluruhannya kepada golongan memerlukan.
“Setiap sen duit anda yang diberikan kepada saya, akan saya serahkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.
Muhamad Akmal turut menolak dakwaan tindakannya menjual aset merupakan sandiwara untuk mendapatkan derma, sambil menjelaskan beliau hanya mahu mengumpul wang menggunakan kemampuan sendiri.
Beliau berjanji memperincikan pengagihan sumbangan itu menerusi media sosial dan sekali lagi meminta orang ramai menghentikan pemindahan wang ke akaunnya. – MYNEWSHUB


