Oleh Arshad Khan
JOHOR BAHRU – Penantian penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir apabila dokumentari eksklusif UNTAMED kini boleh ditonton menerusi platform JDT+ bermula hari ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun rasmi JDT+ di media sosial yang turut dikongsi semula oleh akaun rasmi kelab, dengan mesej ringkas bahawa UNTAMED sudah pun disiarkan.
Dokumentari berdurasi 76 minit itu merupakan kandungan premium pertama JDT+, platform berasaskan langganan yang dilancarkan kelab untuk memberi akses lebih dekat kepada penyokong mengenai apa yang berlaku di sebalik tabir Harimau Selatan.
Menjelang tayangan, JDT+ turut menyiarkan petikan eksklusif 10 minit sebagai tayangan perdana di saluran YouTube JDTTV.
Menurut kenyataan media kelab sebelum ini, selepas UNTAMED, JDT+ akan menampilkan OUTBOUND, siri dokumentari tahunan yang menyusuri kempen JDT dalam Liga Juara-Juara AFC Elite.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia dalam kenyataan itu menyifatkan JDT+ sebagai satu lagi langkah penting dalam perkembangan JDT sebagai organisasi sukan moden, bukan sekadar kelab bola sepak.
Menurut beliau, platform itu memberi peluang kepada penyokong melihat kehidupan seharian pemain, kerja di sebalik tabir, persiapan serta standard dan mentaliti yang menggerakkan kelab setiap hari.
Beliau turut menegaskan bahawa bagi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, inovasi sentiasa menjadi asas kepada visi JDT, dengan objektif untuk terus memperbaiki diri, berkembang dan menetapkan standard baharu.
“JDT+ adalah sebahagian daripada visi itu. Ia mendekatkan penyokong kepada kelab dan membolehkan kami menceritakan kisah JDT dengan lebih mendalam dan autentik. Dan ini baru permulaan,” katanya.
Penyokong boleh melanggan dan menonton UNTAMED menerusi laman jdtplus.com.
– MYNEWSHUB



