KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan hubungan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan syarikat yang terlibat dalam pembangunan aplikasi navigasi TuJu.
Beliau mendakwa ADUN tersebut pernah memegang jawatan penting dalam Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika memorandum persefahaman dengan syarikat pembangunan aplikasi navigasi TuJu dimeterai pada 26 Mei 2022.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mendakwa nama ADUN terbabit disenaraikan memegang jawatan penting dalam syarikat pembangunan aplikasi navigasi TuJu tersebut.
Bagaimanapun tarikh pelantikan ADUN tersebut dalam syarikat pembangunan aplikasi navigasi TuJu tidak dinyatakan.
“Pengalaman beliau mungkin dapat membantu pihak berkaitan memahami keperluan penambahbaikan aplikasi ini demi manfaat pengguna,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fadhli mendakwa, syarikat yang terlibat dalam pembangunan TuJu bersama LLM menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan MIMOS Holdings Sdn. Bhd. pada 4 Ogos 2026.
Menurutnya, perjanjian itu bertujuan membangunkan penyelesaian teknologi mampan untuk pasaran lebih luas.
Beliau turut membangkitkan hubungan kerjasama korporat MIMOS Holdings dengan Zetrix AI Berhad yang dahulunya dikenali sebagai MYEG.
Dakwa beliau, kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Langganan Saham dan Perjanjian Pemegang Saham bertarikh 27 November 2025 melibatkan My Blockchain Infrastructure Sdn. Bhd. (MBISB)
Berdasarkan maklumat yang dikongsikannya, MIMOS Holdings memiliki 51 peratus pegangan ekuiti dalam MBISB, manakala baki 49 peratus dimiliki PayMe Sdn. Bhd., anak syarikat tidak langsung Zetrix AI. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


