KAJANG – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon maaf susulan gangguan teknikal yang dialami pengguna aplikasi navigasi tempatan, TuJu, selepas peningkatan ketara jumlah pengguna aplikasi berkenaan.
LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peningkatan itu berlaku selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan rakyat mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
Menurutnya, LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang giat mengenal pasti punca gangguan dan mengambil tindakan bagi memulihkan kestabilan sistem.
“LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. LLM bersama penyedia aplikasi sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, LLM turut memberi perhatian terhadap maklum balas pengguna berkaitan fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan serta pengalaman menggunakan aplikasi berkenaan.
Menurut LLM, TuJu yang diperkenalkan pada 26 November 2025 dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama pihaknya sebagai aplikasi navigasi lebuh raya tempatan.
Selain maklumat perjalanan, aplikasi itu menyediakan kemudahan berkaitan keadaan trafik serta bantuan kecemasan kepada pengguna lebuh raya.
LLM menegaskan, usaha memperkukuh TuJu bukan sekadar tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi memenuhi keperluan pengguna.
Sehubungan itu, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan serta tadbir urus data.
LLM turut memberi jaminan bahawa isu yang dibangkitkan pengguna akan diteliti secara serius, manakala perkembangan pemulihan aplikasi akan dimaklumkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu. – MYNEWSHUB


