KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Fathurrahman Mahfudz, petang semalam.
Anwar berkata, pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai gerakan dakwah Islam di Malaysia dan Indonesia, perkembangan isu antarabangsa serta cabaran yang dihadapi umat Islam ketika ini.
Menurut beliau, hubungan erat yang terjalin sejak sekian lama itu turut berteraskan legasi dua tokoh besar Indonesia, Mohammad Natsir dan Buya Hamka.
Mohammad Natsir merupakan tokoh dakwah dan negarawan Indonesia, manakala Buya Hamka dikenali sebagai ulama, sasterawan serta pemikir Islam yang banyak menyumbang kepada perkembangan dakwah dan pemikiran Islam di Nusantara.
Anwar turut mendoakan agar DDII terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh gerakan dakwah serta menyebarkan ilmu dan manfaat kepada masyarakat.
“Saya mendoakan agar DDII terus menyuluh jalan dakwah dan menyuburkan amal bakti agar ilmu menemukan jalannya ke hati, dan khidmat menjangkau mereka yang memerlukan.
“Semoga setiap ikhtiar menjadi teduh buat yang lelah, harapan buat yang resah, serta manfaat yang berpanjangan buat umat terbanyak,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam. – MYNEWSHUB


