KUCHING – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa membawa mercun dan kapak ke sebuah sekolah swasta di sini sebelum mencederakan seorang guru wanita, pagi Rabu.
Memetik laporan media, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak dipetik berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan mengenai kejadian itu menerusi talian MERS 999 pada jam 8.03 pagi.
Menurutnya, maklumat awal mendapati pelajar terbabit membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan guru berkenaan menggunakan kapak.
“Mangsa dilaporkan mengalami luka pada tangan akibat kejadian itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini
Saifullizan seterusnya dilaporkan berkata, suspek diberkas sejurus kejadian dan kini ditahan di wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS).
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.
Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mendapatkan bukti berkaitan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak terbabit. – MYNEWSHUB


