KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan semalam.
Muhyiddin yang juga pengasas PN berkata, keputusan itu seharusnya menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang menerajui parti gabungan supaya berlaku adil terhadap semua parti anggota.
Menurutnya, kepimpinan sesebuah gabungan juga perlu sentiasa mematuhi perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan 1966 bagi memastikan pentadbiran berjalan dengan teratur.
“Sebagai pengasas parti Perikatan Nasional, saya berduka atas keputusan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional hari ini.
“Namun, keputusan ini adalah suatu peringatan kepada mana-mana pihak yang memimpin sebuah parti gabungan supaya bertindak adil terhadap semua parti anggota dan hendaklah sentiasa mematuhi perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media bertarikh 20 Oktober 2026.
Muhyiddin turut mengingatkan pemimpin supaya tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dalam gabungan politik demi kepentingan parti atau kumpulan tertentu.
“Jangan salah guna kuasa dan kedudukan dalam parti gabungan semata-mata untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menyebabkan parti gabungan tergelincir daripada tujuan dan matlamat asal penubuhannya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan Bersatu bagi menentukan tindakan susulan berhubung perkembangan berkenaan. – MYNEWSHUB


