MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meluahkan rasa berat hati terpaksa membuka bidaan motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya selepas mendakwa wang simpanan beliau tidak mencukupi untuk membayar RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jumlah itu diperintahkan Mahkamah Tinggi Melaka pada Isnin lalu selepas Teresa memenangi saman fitnah terhadapnya, membabitkan ganti rugi RM250,000 dan kos RM50,000.
Menerusi hantaran media sosial, Akmal mengakui jumlah tersebut terlalu besar buat dirinya, namun tetap menghormati keputusan mahkamah dan bersedia memikul tanggungjawab menjelaskannya.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi,” katanya.
Menurut Akmal, beliau menerima banyak doa, sokongan dan cadangan supaya tabung sumbangan dibuka, namun memilih untuk berusaha sendiri terlebih dahulu kerana tidak mahu membebankan orang lain.
Katanya, motosikal dan ikan tilapia itu merupakan dua aset kesayangannya yang sudah habis dibayar, manakala beliau tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dijual.
“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat,” luahnya.
Akmal berkata, meskipun sukar berpisah dengan sesuatu yang disayangi, beliau lebih keberatan menyusahkan sahabat yang turut mempunyai keluarga, tanggungan dan kesulitan masing-masing.
“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan.
“Terima kasih kerana menemani saya dengan doa. Mudah-mudahan Allah permudahkan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


