KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa tindakan kepimpinan PAS melanggar undang-undang bakal menghancurkan masa depan Perikatan Nasional (PN)
Beliau berkata, keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN hari ini membuktikan gabungan yang dipimpin PAS itu telah melanggar Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan serta Perlembagaan PN.
“Tindakan melanggar undang-undang membawa mudarat besar dan dampaknya akan menghancurkan masa depan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin mendakwa alasan dan keterangan dikemukakan PAS dalam siasatan JPPM terbukti tidak berasas serta gagal memenuhi kehendak undang-undang dan Perlembagaan PN.
Menurutnya, tindakan kepimpinan PN yang dipengerusikan PAS menafikan hak Bersatu menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu merupakan pelanggaran serius Fasal 7.1 Perlembagaan parti.
Beliau turut mendakwa wujud ancaman dan tekanan untuk menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota sah menerusi kuasa veto individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN.
Katanya, Bersatu telah memberikan keterangan kepada JPPM pada 18 Ogos lalu berserta fakta dan bukti berhubung tindakan kepimpinan PN yang didakwa menafikan hak parti itu.
“Keputusan JPPM hari ini sekaligus membuktikan bahawa Bersatu berada di pihak yang benar untuk menyelamatkan PN,” katanya.
Mohamed Azmin menegaskan aduan Bersatu kepada JPPM pada 11 Ogos lalu bertujuan memastikan PN diurus berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti serta pematuhan undang-undang dan Perlembagaan parti. – MYNEWSHUB


