KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tidak kisah jika ada pihak menyindir atau menggelarnya sebagai ‘Menteri Tandas’
“Mungkin ada yang pernah menyindir atau menggelar saya ‘Menteri Tandas’. Namun bagi saya, itu tidak menjadi masalah.
“Janji rakyat dan pengguna jalan raya di Malaysia dapat menikmati kemudahan tandas yang bersih, wangi dan selesa,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengucapkan tahniah kepada Petron Malaysia yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi bilangan tandas stesen minyak bertaraf empat dan lima bintang terbanyak di negara ini.
Menurutnya, sebanyak 86 peratus stesen minyak Petron memperoleh penarafan tandas empat atau lima bintang dalam penilaian MBOR pada 2025, sebelum angka itu meningkat kepada 91 peratus daripada lebih 830 stesen Petron di seluruh negara.
Kor Ming turut memaklumkan KPKT akan menganjurkan Toilet of the Year Awards (TOTYA) 2026 di Pavilion Damansara Heights esok.
Katanya, dua daripada tiga finalis bagi kategori stesen minyak adalah daripada Petron.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, pengusaha stesen minyak serta pekerja pembersihan Petron atas komitmen berterusan menjaga kebersihan kemudahan awam. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nga Kor Ming
