OLEH MYNEWSHUB
PETALING JAYA: Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan kes disyaki khalwat di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata, pertemuan berkenaan bertujuan membincangkan projek yang sedang diusahakan bersama rakan-rakannya.
Menurut kenyataannya, perbincangan bermula di studio mereka di Brickfields, Kuala Lumpur, sebelum diteruskan di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek tersebut.
Nik Nazmi mengakui hanya beliau dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai JAIS tiba.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka tidak melakukan tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
Beliau turut mengakui kesilapan pertimbangannya dan menyatakan kesediaan memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
Susulan kejadian itu, beliau memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan.
Permohonan maaf turut ditujukan kepada Bersama kerana mengecewakan ahli dan penyokongnya.
Beliau menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan parti berhubung perkara tersebut.
Nik Nazmi turut meminta semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan melalui media.
Terdahulu, JAIS mengesahkan dua individu ditahan sekitar jam 6 petang pada 15 Oktober bagi membantu siasatan kes disyaki khalwat membabitkan seorang figura awam di daerah Petaling.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM3,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
JAIS turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga tutur kata serta mengelakkan spekulasi atau penyebaran perkara yang boleh mengaibkan individu terbabit sementara siasatan dijalankan.
MYNEWSHUB


