KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berpendirian setiap individu berhak memilih sama ada mahu menyumbang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak atau sebaliknya, tanpa menghina pilihan orang lain.
“Adik berhak untuk tidak menyumbang. Orang lain juga berhak untuk menyumbang. Hormatilah pilihan masing-masing,” katanya menerusi hantaran media sosial yang ditujukan kepada mahasiswa, Ummi Umairah.
Beliau berkata, menyumbang kepada Najib tidak bermakna seseorang itu bodoh kerana penyokong mempunyai kepercayaan dan pertimbangan tersendiri.
Menurutnya, penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mempertahankan beliau ketika berdepan kes liwat, manakala penyokong DAP menghulurkan sumbangan bagi urusan perundangan atau membayar denda.
Mohammad Sollehin turut menghormati keberanian Ummi Umairah menyuarakan pandangan, namun mengingatkan sesiapa membuat kenyataan terbuka perlu juga bersedia menerima kritikan.
Beliau berkongsi pengalaman dirinya dan keluarga menerima kecaman ketika membela Najib, tetapi tetap berpegang pada pendirian.
Dalam isu rasuah, beliau menyeru agar bersikap konsisten antaranya kontroversi membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH), dakwaan kekayaan individu dikatakan rapat dengan kerajaan serta persoalan pemilikan harta.
Mengenai kebebasan bersuara, Mohammad Sollehin menolak buli siber, ugutan dan penghinaan terhadap keluarga, tetapi kritikan tidak semestinya buli dan perbezaan pandangan bukan bermaksud permusuhan.
“Berani bersuara itu bagus. Berani menerima kritikan itu kematangan. Tetapi berani berlaku adil kepada mereka yang kita tidak suka, itulah prinsip sebenar,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohammad Sollehin


