JOHOR BAHRU – Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) meneruskan usaha membantu masyarakat luar bandar menerusi sumbangan mesin penggembur tanah kepada wanita Orang Asli di Kluang serta bantuan keperluan asas kepada penduduk kepulauan Mersing.
Menerusi dua hantaran di media sosial Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam, YSIJ menyumbangkan mesin penggembur tanah bagi menyokong projek tanaman nanas di Kampung Orang Asli (KOA) Berasau, Kluang.
Sumbangan itu bertujuan membantu golongan wanita Orang Asli yang menjadi penggerak utama projek penanaman 30,000 pokok nanas di kawasan seluas tiga ekar.
Penyerahan jentera pertanian berkenaan disempurnakan Ketua Pegawai Operasi YSIJ, Marina Ibrahim kepada komuniti Orang Asli kampung tersebut pada 15 Oktober lalu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md Israk Abdullah; Penolong Pengarah Lembaga Nanas Negeri Johor, Hisham Tohak serta Ketua Kampung KOA Berasau, Batin Sari.
Menurut hantaran itu, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan YSIJ memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam pembangunan ekonomi berasaskan pertanian dan keusahawanan.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, YSIJ turut menyalurkan 250 kotak barangan keperluan asas kepada isi rumah di Kepulauan Johor yang terjejas akibat Monsun Timur Laut.
Bantuan menerusi Program Sumbangan Keperluan Asas Keluarga di Kepulauan Johor itu diserahkan di pekarangan Pejabat Daerah Mersing pada 15 Oktober.
Penyerahan disempurnakan Pengurus Kanan YSIJ, Shah Reza Md Kanafe kepada Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah dengan kehadiran Pengurus Yayasan JCorp, Shahrazali Sahlan.
Program anjuran bersama Yayasan JCorp itu menyaksikan sumbangan diserahkan secara simbolik kepada ketua-ketua kampung untuk diagihkan kepada penduduk kepulauan yang terjejas. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


