NILAI – Seorang pegawai Agensi Kawalan dan
Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Memetik laporan media, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam.
Menurut beliau, suami mangsa yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan telah menyerah diri di balai polis selepas kejadian.
“Pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh suaminya. Suspek juga menyerahkan diri di balai polis selepas kejadian berkenaan,” katanya.
Alzafny dipetik berkata, siasatan terperinci dijalankan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif pembunuhan selain menentukan waktu sebenar kejadian berlaku.
Katanya, suspek turut dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Media turut melaporkan, suspek ditahan reman selama tujuh hari selepas lelaki berusia 30-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pagi ini.
Sebuah portal berita pula melaporkan, mangsa ialah Norhazwani Ibrahim, 35, dan suaminnya baru beberapa hari keluar dari penjara atas kesalahan berkaitan dadah
Pasangan yang dilaporkan dalam proses cerai itu telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun. – MYNEWSHUB


