KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan tambahan kepada golongan bukan Bumiputera bersamaan 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan Bumiputera tanpa mengurangkan walau satu sen pun dana yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan wang pembayar cukai diagihkan secara adil, saksama dan sewajarnya kepada masyarakat bukan Bumiputera yang didakwanya selama ini terpinggir serta kurang mendapat perhatian daripada kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Antaranya, memperuntukkan tambahan dana kepada golongan bukan Bumiputera bersamaan hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Bumiputera, tanpa mengurangkan walau satu sen pun peruntukan Bumiputera.
“Langkah ini penting bagi memastikan wang pembayar cukai diagihkan secara adil, saksama dan sewajarnya kepada golongan bukan Bumiputera yang selama ini terpinggir dan kurang diberikan perhatian oleh kerajaan-kerajaan terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya semalam ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan sama, Guan Eng menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan paling berteraskan reformasi yang pernah dibentangkan oleh Anwar setakat ini.
Katanya, usaha memperluas jaringan perlindungan sosial kepada golongan memerlukan, termasuk pekerja ekonomi gig, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, merupakan antara langkah positif yang diperkenalkan kerajaan.
Beliau turut menyambut baik pendekatan kerajaan menyediakan peruntukan lebih inklusif serta menyelaraskan kadar cukai pendapatan individu bagi membetulkan ketidakadilan yang menurutnya berlaku sebelum ini.
Bagaimanapun, Guan Eng menegaskan bahawa langkah reformasi tersebut masih perlu diperkukuh melalui pelaksanaan dasar yang lebih menyeluruh, khususnya berkaitan pengagihan peruntukan kepada masyarakat bukan Bumiputera.
Menurutnya, langkah awal reformasi belanjawan itu memberikan harapan bahawa lebih banyak perubahan substantif dan bermakna akan dilaksanakan pada masa hadapan.
Beliau berkata, reformasi berkenaan juga perlu memberikan tumpuan kepada usaha membendung kenaikan kos sara hidup yang terus memberi tekanan kepada rakyat.
Selain itu, Guan Eng mahu kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agar golongan peniaga terus mendapat manfaat daripada dasar ekonomi negara.
Katanya, kemakmuran ekonomi seharusnya dinikmati semua lapisan masyarakat dengan memastikan isi rumah Malaysia mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


