KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO mengecam Eric Lim Sian See yang didakwa mempermainkan ayat al-Quran menerusi satu hantaran di media sosial, selain menyifatkan perbuatannya sebagai melampau dan tidak boleh diterima.
Dalam satu hantaran di media sosial, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggunakan perkataan ‘bangang’ dan ‘bodoh’ bagi mengecam Eric Lim yang didakwa memperlekehkan ayat suci al-Quran.
“Apalah bangang sangat ayat-ayat al-Quran nak dipermainkan. Kamu nak berpolitik, itu kamu punya pasal. Tetapi bila ayat al-Quran dipelekehkan sebegini rupa, maka ia adalah tindakan yang melampau,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Muhamad Akmal mendesak Eric Lim supaya segera membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya yang didakwa telah melampaui batas.
Malah, Ketua Pemuda UMNO itu turut menegaskan bahawa laporan polis akan dibuat terhadap Eric Lim berhubung perkara berkenaan.
“Kami desak untuk kamu mohon maaf secara terbuka dan laporan polis juga akan dibuat atas tindakan bodoh kamu ini!” tegas kenyataan tersebut.
Kecaman itu menyusul kontroversi membabitkan Eric Lim yang turut mendapat perhatian Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) selepas Ketua Pengarahnya, Mohd Hisyamuddin Ghazali menyatakan hasrat untuk membuat laporan kepada polis, MCMC serta platform media sosial berkaitan.
Kontroversi itu dipercayai tercetus susulan hantaran media sosial Eric Lim mengenai pengunaan perkataan ‘Lighad’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, kandungan sebenar hantaran berkenaan belum dapat disahkan secara bebas.
Eric Lim dalam reaksinya di media sosial hari ini namun menafikan beliau menghina atau memperlekeh ayat suci al-Quran sepert didakwa oleh J-KOM dan Pemuda UMNO.
Beliau berkata, sesuatu perkataan bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan itu turut digunakan dalam al-Quran. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Akmal Saleh/Eric See-To – Lim Sian See



