KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 yang sepatutnya menjadi berita gembira kepada rakyat, sebaliknya turut mengundang kebimbangan sebilangan netizen mengenai kemungkinan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.
Pengumuman itu dibuat Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini, dengan lebih empat juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu berkenaan.
Bagaimanapun, di media sosial, komen sebilangan netizen mula mempersoalkan sama ada kenaikan pendapatan itu benar-benar mampu meringankan beban rakyat sekiranya peniaga dan pengusaha turut menaikkan harga barangan serta perkhidmatan bagi menampung peningkatan kos operasi.
“Gaji naik kos dan harga barang akan naik..tengok la nanti,” komen Zairul Amienzz, manakala Pak Dart pula secara sinis menulis, “Dan berita gembira juga…teh ais dn milo ais auto naik harga.”
Kebimbangan sama disuarakan Ruslah Abdullah Sani yang menjangkakan kenaikan kos bahan mentah akan menyebabkan harga makanan dan minuman di restoran turut meningkat.
Arafi Arbain pula mempersoalkan keberkesanan langkah itu dengan mendakwa kos sara hidup pasti bertambah.
Dalam pada itu, Adali Maharon mengingatkan kerajaan supaya memberi tumpuan kepada tanggungjawab mengawal kos sara hidup kerana berpandangan kenaikan gaji sepatutnya berlaku secara semula jadi melalui perkembangan dan kemampuan industri.
Isu kesamarataan kepada golongan pekerja turut dibangkitkan susulan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada pelaksanaan kadar baharu itu.
MKD berkata, syarat kenaikan tersebut hanya membabitkan syarikat yang memperoleh jualan tahunan melebihi RM50 juta, manakala
Haziq turut memberikan pandangan sama.
Sementara itu, Eternity CK pula membangkitkan persoalan jurang gaji permulaan antara graduan dengan pekerja bukan graduan susulan pengumuman kadar permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerja separa mahir.
“Gaji permulaan ada degree dgn takde degree beza rm500 je. Yg ada degree lps grad je hutang pendidikan dah puluh ribu.. nice..,” tulisnya.
Terdahulu, Anwar menjelaskan kenaikan gaji minimum itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan pendapatan pekerja, memandangkan kenaikan harga barangan tidak seiring dengan pertumbuhan upah rakyat.
Walaupun langkah tersebut dijangka membantu meningkatkan pendapatan jutaan pekerja, reaksi berkenaan memperlihatkan kebimbangan sebahagian masyarakat bahawa manfaat kenaikan gaji mungkin terhakis sekiranya harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat. – MYNEWSHU


