JOHOR BAHRU – Polis percaya perasaan dendam termasuk berkaitan penolakan cinta antara motif pembunuhan pelajar perempuan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat baru- baru ini.
Memetik laporan media, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan sebagai berkata, motif berkenaan bagaimanapun masih diperhalusi menerusi siasatan yang masih sedang berjalan.
“Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri. Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rahaman dilaporkan berkata, suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan merupakan rakan sekelas mangsa dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.
Beliau memaklumkan, beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Tambah beliau, berdasarkan laporan bedah siasat, pukulan dipercayai mengenai bahagian kepala dan terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa.
Beliau juga dipetik berkata, polis percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek berdasarkan keadaan di lokasi kejadian yang menemukan meja dan kerusi terbalik selain sebuah pasu pecah serta terdapat kesan menunjukkan mangsa cuba mempertahankan diri.
Selain batang besi, antara barang kes dirampas adalah iPhone 13 Pro, baju jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas, satu set dekoder jenama Alhua Technology, seluar sukan berwarna hitam serta baju sukan putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah.
Turut dirampas sebuah beg kanvas mengandungi peralatan tulis, beg galas mengandungi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertera nama Irene Sofiya, sepasang cermin mata, anak kunci berlambang Yamaha, botol minuman Owala, tiga helai kertas kehadiran pelajar serta sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu.
Dalam pada itu, Ab Rahaman seterusnya dilaporkan berkata, setakat ini siasatan tidak mengesan terdapat cubaan merogol mangsa dalam kejadian itu.
Kata beliau, suspek didapati tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah, manakala isu berkaitan keadaan mental remaja berkenaan akan diserahkan kepada mahkamah sekiranya dia didakwa dan perlu dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri.
Siasatan yang dilakukan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini untuk arahan lanjut. – MYNEWSHUB


