JOHOR BAHRU – Keadaan persekitaran pada pagi kejadian kemalangan yang meragut nyawa tiga beradik di Pontian, Johor, Khamis, dilaporkan berjerebu dan berkabus dengan jarak penglihatan yang terhad.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, beliau dimaklumkan mengenai keadaan tersebut susulan tragedi membabitkan sebuah motosikal dan lori muatan kelapa sawit di Parit Haji Siraj, kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Saya turut dimaklumkan bahawa keadaan persekitaran pada pagi kejadian dilaporkan berjerebu dan berkabus dengan jarak penglihatan yang terhad.
“Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Justeru, sebarang kesimpulan berhubung faktor yang menyumbang kepada kejadian ini hendaklah dibuat berdasarkan hasil siasatan rasmi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang terkorban ialah dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran, Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8, dan Nordaniel Fikri Norlizan, 11, serta abang mereka, Nordanial Aiman Norlizan, 18.
Menurut Muhammad Naqib, berdasarkan laporan awal, pihak SK Parit Sapran telah membuat hebahan mengenai penutupan sekolah pada 8 dan 9 Oktober susulan keadaan jerebu yang melanda Johor.
Katanya, makluman itu disalurkan kepada ibu bapa dan penjaga melalui kumpulan WhatsApp kelas, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta saluran komunikasi sekolah, selaras dengan pengumuman rasmi pada 7 Oktober.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal pihak sekolah, kedua-dua murid berkenaan tetap hadir ke sekolah dengan dihantar abang mereka yang menunggang motosikal.
Setibanya di sekolah, mereka dimaklumkan guru bertugas bahawa sesi persekolahan tidak berlangsung berikutan arahan penutupan sebelum ketiga-tiganya berpatah balik untuk pulang ke rumah.
Malangnya, dalam perjalanan pulang, motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan kelapa sawit.
Kedua-dua murid dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abang mereka dibawa ke Hospital Pontian untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.
Muhammad Naqib berkata, beliau turut hadir ke Unit Forensik Hospital Pontian dan menziarahi keluarga mangsa di Kampung Parit Haji Sirat bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral.
Beliau juga telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah yang terkesan.
Menurutnya, guru bimbingan dan kaunseling bersama pasukan sokongan psikososial akan digerakkan bagi menyediakan bantuan emosi kepada rakan-rakan, guru dan warga SK Parit Sapran apabila sesi persekolahan kembali beroperasi.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca kemalangan serta menghormati privasi keluarga mangsa yang sedang berdepan kehilangan besar.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan ketika keadaan cuaca serta kualiti udara berada pada tahap tidak baik. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Dr. Naqib Ghazali


