KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad menafikan pernah mendakwa bahawa ‘Reformasi Pendidikan sudah gagal’ seperti yang diperkatakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim.
Anuar berkata, beliau telah membaca tulisan Radin yang mengulas kenyataannya di Facebook peribadi sebelum ia disiarkan menerusi Minda UKM.
Menurutnya, Radin dalam tulisan berkenaan antara lain menyatakan bahawa beliau kecewa membaca hantaran Minda UKM yang didakwa mengatakan reformasi pendidikan sudah gagal.
Bagaimanapun, Anuar menegaskan frasa tersebut tidak pernah digunakan sama ada dalam hantaran Facebook peribadinya mahupun hantaran yang diterbitkan oleh pentadbir Minda UKM.
“Untuk makluman semua, tidak ada sepatah pun perkataan ‘Reformasi Pendidikan sudah gagal’ yang telah saya gunakan dalam posting FB peribadi saya atau di dalam posting dari admin MINDA UKM,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, Anuar meminta Radin membetulkan semula kenyataannya kerana menurutnya, kenyataan berkenaan boleh memberi gambaran seolah-olah dakwaan bahawa reformasi pendidikan sudah gagal
datang daripadanya dan Minda UKM.
“Saya berharap Dr. Radin dapat membetulkan semula kenyataan beliau kerana kenyataan beliau adalah terkhilaf dan tidak sepatutnya digunakan, seolah-olah dakwaan ‘Reformasi Pendidikan sudah gagal’ datang dari pihak saya dan MINDA UKM,” katanya.
Anuar berkata, beliau kebiasaannya jarang membalas komen atau kenyataan pihak lain, namun memilih untuk memberikan respons kali ini kerana memandang serius perkara tersebut.
“Sebenarnya, saya jarang membalas komen pihak lain, tetapi untuk posting Dr. Radin, saya memandang serius tuduhan beliau dan berharap beliau segera mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tuduhan beliau yang tidak benar kepada pihak saya dan MINDA UKM,” katanya.
Terdahulu, Radin menerusi satu hantaran mengkritik pandangan yang disiarkan Minda UKM berkaitan pelaksanaan reformasi pendidikan serta menegaskan bahawa proses reformasi memerlukan tempoh panjang dan tidak boleh dinilai dalam jangka masa singkat. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anuar Ahmad


