KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada penumpang susulan gangguan yang menjejaskan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang, hari ini.
KTMB dalam kemas kini terbaharu memaklumkan kerja-kerja baik pulih alat talian atas di laluan Labu-Batang Benar telah selesai pada pukul 1.41 petang.
Susulan itu, perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di laluan berkenaan kembali
beroperasi seperti biasa.
“KTMB mohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai pemahaman serta kesabaran para penumpang,” katanya.
Terdahulu, gangguan bermula kira-kira pukul 6.24 pagi selepas Alat Talian Atas (ATA) 25kV terputus di KM434.423 antara Stesen Batang Benar dan Stesen Labu.
Pemeriksaan awal KTMB mendapati kejadian disyaki berpunca daripada animal bridging, iaitu keadaan apabila haiwan menjadi penghubung antara talian elektrik hidup dengan talian bumi sehingga mewujudkan laluan arus elektrik yang tidak sepatutnya.
Kejadian itu menjejaskan bekalan kuasa operasi tren, menyebabkan beberapa perkhidmatan ETS mengalami kelewatan atau ditamatkan lebih awal, selain menjejaskan KTM Komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves. – MYNEWSHUB


