SEREMBAN – Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri serta dilarang menjalankan tugas-tugas rasmi pentadbiran oleh pihak berkuasa.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata, arahan itu hanya disampaikan secara lisan kepada mereka tanpa sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan berkuat kuasa sejak semalam.
Menurut beliau, setakat ini tiada sebarang perintah mahkamah mahu pun arahan bertulis dikeluarkan berhubung larangan berkenaan.
“Ini arahan verbal ya, sebab itu saya kena buat kenyataan terbuka ini. Saya menyerulah pihak berkuasa, tanpa alasan ataupun sebab-sebab tertentu dan tanpa arahan bertulis dan sebagainya, saya minta dikaji semula perkara ini.
“Benarkan EXCO masuk, benarkan mereka menjalankan tugas seperti biasa, dan mesyuarat Kerajaan Negeri MMK mesti diteruskan,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
Ismail berkata, semua ahli EXCO sedia ada masih sah dari segi undang-undang kerana pemecatan atau pemberhentian Exco tertakluk kepada Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memerlukan nasihat serta pandangan Menteri Besar.
Kata beliau, Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO, maka EXCO yang sedia ada adalah sah dan sepatutnya menjalankan tugas seperti biasa.
“Mesyuarat EXCO perlu diteruskan kerana banyak perkara yang dibincangkan melibatkan tuntutan, pembangunan, serta bantuan untuk rakyat. Jika ini tersekat tanpa alasan yang munasabah, ia merupakan satu penafian kepada hak rakyat,” tambah beliau. – MYNEWSHUB


