KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mendedahkan jumlah keseluruhan projek pengangkutan yang diluluskan kepada 13 negeri lain susulan dakwaan Pulau Pinang menerima projek bernilai lebih RM21 bilion sepanjang Anthony Loke Siew Fook menerajui Kementerian Pengangkutan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, rakyat berhak mengetahui jumlah yang diterima setiap negeri serta asas yang digunakan kerajaan dalam menentukan keutamaan projek berkenaan.
“Jika benar Pulau Pinang menerima lebih RM21 bilion dalam bentuk projek pengangkutan sepanjang tempoh Loke menjadi Menteri Pengangkutan, maka rakyat juga berhak mengetahui berapa jumlah yang diterima oleh 13 negeri lain di Malaysia dan apakah asas keutamaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurut Mike Chong, pembangunan infrastruktur menggunakan sumber negara perlu dinilai berdasarkan keperluan dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia, bukannya semata-mata dijadikan ukuran pencapaian seseorang menteri atau kelebihan kepada negeri yang ditadbir parti politik tertentu.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperincikan angka yang dikemukakan supaya masyarakat dapat membezakan antara nilai keseluruhan projek yang diumumkan dengan perbelanjaan sebenar kerajaan.
Mike Chong menegaskan Pemuda MCA tidak mempertikaikan atau menafikan keperluan pembangunan infrastruktur serta sistem pengangkutan di Pulau Pinang.
Namun katanya, angka melebihi RM21 bilion itu boleh memberi gambaran seolah-olah keseluruhan projek berkenaan merupakan pencapaian peribadi seseorang Menteri Pengangkutan. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial MCA


