KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat meminta Kementerian Pengangkutan mendedahkan nilai projek pengangkutan yang diluluskan mengikut negeri bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan susulan projek bernilai lebih RM21 bilion diluluskan untuk Pulau Pinang yang diterajui DAP.
Ahmad Fadhli Shaari berkata, jumlah RM21 bilion untuk sebuah negeri merupakan angka yang besar dan atas faktor itu, perbandingan dengan negeri-negeri lain perlu didedahkan secara telus.
“Kalau satu negeri boleh menerima projek pengangkutan sebanyak itu, tentu menarik juga kalau Kementerian Pengangkutan mendedahkan angka mengikut negeri supaya rakyat boleh membuat perbandingan yang adil.
“Pulau Pinang bukannya terlalu berbeza daripada negeri-negeri lain, kecuali satu perkara yang sangat mudah dilihat: kerajaan negerinya diterajui DAP,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, pendedahan angka mengikut negeri penting bagi mengelakkan timbul persoalan sama ada agihan projek dipengaruhi pertimbangan politik.
“Sebab itu ketelusan angka mengikut negeri penting supaya tidak timbul persoalan sama ada ‘kerajinan’ seorang menteri turut mempunyai sempadan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan Penasihat DAP, Lim Guan Eng memuji Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut Guan Eng, Anthony Loke mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion untuk Pulau Pinang sepanjang menerajui kementerian berkenaan.
Antara projek yang disenaraikan Guan Eng ialah Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang RM1.55 bilion, Pelabuhan Pulau Pinang RM2.2 bilion, naik taraf stesen KTM RM30 juta dan RM500 juta bagi Swettenham Pier.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadhli turut menyindir tindakan Anthony Loke yang masih menjalankan tugas rasmi selepas mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Menurutnya, sekiranya benar mahu berundur atas prinsip, urusan besar kementerian sewajarnya diserahkan kepada pengganti dan proses peralihan dilaksanakan secara teratur.
“Jangan pengumuman politik sudah sampai ke pintu keluar, tetapi kuasa menteri masih sibuk berjalan ke sana sini. Kalau begitu, rakyat memang susah hendak membezakan antara peletakan jawatan dengan sekadar pengumuman peletakan jawatan,” katanya.
Ahmad Fadhli turut menyindir bahawa perkataan ‘resign’ dalam politik mungkin mempunyai maksud yang “agak fleksibel” apabila seseorang mengumumkan mahu berhenti tetapi masih meneruskan lawatan rasmi, mesyuarat dan urusan kementerian.
“Rajin memang rajin. Cuma kalau sudah hendak keluar rumah, pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


