JOHOR BAHRU – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membuka tarikan terbaharunya, JDT Kidz Zone di Stadium Sultan Ibrahim bermula esok pada pukul 11 pagi.
Johor Southern Tigers menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, JDT Kidz Zone merupakan ruang permainan khas untuk kanak-kanak yang menawarkan persekitaran selamat, meriah dan mesra keluarga.
Menurutnya, kemudahan berkenaan mencerminkan komitmen kelab dalam menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai destinasi menarik kepada penyokong daripada semua peringkat usia, bukan sahaja ketika berlangsungnya perlawanan.
“JDT Kidz Zone merupakan ruang permainan khas untuk kanak-kanak bermain dalam persekitaran yang selamat, meriah dan mesra keluarga, di samping mencipta kenangan tidak dilupakan di ‘Home of the Southern Tigers’,” menurut hantaran itu.
JDT Kidz Zone yang terletak di aras bawah Stadium Sultan Ibrahim dibuka kepada kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun.
Pada hari Isnin hingga Jumaat, kemudahan berkenaan beroperasi dari pukul 1 petang hingga 10 malam dengan bayaran RM30.
Bagi hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah pula, waktu operasi adalah dari pukul 11 pagi hingga 10 malam dengan bayaran RM40.
Bagaimanapun, JDT Kidz Zone akan ditutup apabila tiba waktu sepak mula pada semua hari perlawanan.
Pemegang JDT 2026/27 Membership yang sebelum ini dikenali sebagai Season Pass pula diberikan diskaun sebanyak 50 peratus untuk menikmati kemudahan berkenaan.
Selain JDT Kidz Zone, Stadium Sultan Ibrahim turut menawarkan pelbagai tarikan termasuk JDT Direct Megastore, Stadium Tour, Hummer Tour dan JDT X-Skate.
Pengunjung juga mempunyai pelbagai pilihan makanan dan minuman antaranya Woodfire, Starbucks, KFC, Subway, Swedish Bistro (IKEA), Bingxue, Eng’s Popcorn, Inside Scoop, ZUS Coffee serta Jom Cha by Farm Fresh. – MYNEWSHUB


