PREMIS perniagaan termasuk kedai runcit dan makanan yang dioperasikan oleh pekerja asing sudah tidak lagi asing di negara ini.
Menggunakan nama rakyat tempatan bagi membolehkan warga asing menjalankan perniagaan.
Sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bersuara mengenainya beberapa bulan lalu.
Mengarahkan supaya pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh.
Menyifatkan ia sebagai aktiviti perniagaan haram yang menyalahgunakan visa serta lesen perniagaan tempatan.
Tetapi realitinya, premis perniagaan yang dikendalikan warga asing masih kelihatan bersepah-sepah di sana sini.
Seolah-olah telah dinormalisasikan.
Malah ada premis yang sebahagian besar barangan dijual dibawa atau diperoleh dari negara asal mereka.
Sepatutnya kehadiran mereka yang bekerja di negara ini turut membantu menggerakkan ekonomi Malaysia.
Mereka memperoleh pendapatan dan berbelanja di sini patut membantu merancakkan ekonomi tempatan.
Namun, sebahagian besar perbelanjaan mereka hanya berlegar dalam lingkungan perniagaan rakan senegara.
Manakala keuntungan pula dihantar pulang ke negara asal.
Sekali lagi, isu ini akhirnya kembali kepada persoalan penguatkuasaan undang-undang.
Kalau kegiatan sedemikian boleh berlaku secara terbuka dan berterusan, sudah tentu rakyat tertanya-tanya bagaimana ia boleh bertahan begitu lama.
Adakah undang-undang sedia ada terlalu lemah untuk menangani perkara sebegini?
Atau terdapat pihak yang enggan atau gagal melaksanakannya dengan tegas entah mengapa. – MYNEWSHUB


