KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan, Cate Dillon menyertai upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban demi keamanan dan kemerdekaan Malaysia.
Menurut Kedutaan AS di Malaysia, Dillon menyertai upacara berkenaan bersama Kuasa Usaha Kedutaan AS, David Gamble dan Atase Pertahanan, Kapten Sean Hays.
Kehadiran delegasi AS itu disambut Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Kolonel Mior Rasidi Mohamad Idris dari Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam upacara berkenaan, Dillon memberikan penghormatan kepada mereka yang telah mengorbankan nyawa demi mempertahankan keamanan dan kemerdekaan Malaysia.
Kedutaan AS berkata, sikap saling menghormati warisan serta sejarah negara masing-masing menjadi antara asas penting dalam hubungan antara AS dan Malaysia.
Menurut kedutaan itu, kerjasama kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang termasuk pemeliharaan budaya, diplomatik dan keselamatan.
“Daripada pemeliharaan budaya kepada kerjasama diplomatik dan keselamatan, AS kekal komited untuk menghormati sejarah Malaysia yang kaya sambil memperkukuh masa depan bersama,” menurut hantaran berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial U.S. Embassy Kuala Lumpur


