KOTA BHARU – Muktamar Dewan Pemuda PAS meluluskan sebulat suara usul supaya Himpunan Mega Penyatuan Ummah diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, keputusan itu dicapai menerusi muktamar sayap parti berkenaan yang berlangsung di Kota Bharu.
“Muktamar Pemuda PAS Malaysia, sebulat suara meluluskan usul Himpunan Mega Penyatuan Ummah sebelum PRU16,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam hantaran berasingan, Afnan Hamimi menyatakan keterujaannya menyambut kehadiran pimpinan pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia.
“Saya cukup bersemangat pagi ini. Menyambut rakan seperjuangan baru kita demi agenda besar ummah.
“Ahlan wasahlan Ketua Pemuda rakan-rakan komponen PN serta turut bersama Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia ke Muktamar Dewan Pemuda PAS.
“Kita teruskan semangat penyatuan ini demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Afnan Hamimi Taib Azamudden


