KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej negara di persada antarabangsa, malah bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan perbuatan menyerupai jantina berlawanan atau tasyabbuh serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak.
Menurutnya, perbuatan itu juga dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri.
“Penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli pada masa sama menyeru masyarakat supaya tidak mensensasi atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat.
Sebaliknya, beliau mengajak masyarakat bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah.
Katanya, pihak berkuasa agama juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berasaskan perundangan sedia ada. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media YB Senator Dr. Zulkifli Hasan


