KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Beliau berhadapan pertuduhan tidak mengisytiharkan harta membabitkan wang berjumlah RM14 juta dan pelbagai mata wang asing lain, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak dan syiling emas.
Mata wang asing berkenaan terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta , ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AUD$352,850.
Ahli Parlimen Bera itu namun mengaku tidak salah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Beliau didakwa memberi satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis berkenaan dihantar kepada beliau oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.
Ismal Sabri dengan itu didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda maksimum RM 100,000. – MYNEWSHUB


