KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyeb yang bertanyakan khabar selepas mendapat berita mengenai keadaan kesihatannya baru-baru ini.
Anwar berkata, Ahmad turut menitipkan doa agar beliau dikurniakan kesembuhan dan keafiatan segera, selain menyatakan penghargaan terhadap ingatan serta doa yang diberikan pemimpin institusi Islam berprestij itu.
Menurut Perdana Menteri, beliau memaklumkan kepada Ahmad bahawa pembedahan yang dijalaninya telah berjalan lancar, manakala proses pemulihan juga berlangsung dengan amat baik.
“Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, perbualan mereka turut menyentuh soal kesinambungan usaha dakwah dan pengajian dalam memperluas kefahaman Islam, selain menyifatkan pandangan serta bimbingan Sheikh al-Azhar sebagai pedoman penting dalam mengangkat tradisi keilmuan Islam.
Beliau turut mengimbau kembali kunjungan Ahmad ke Malaysia sebelum ini yang disifatkan meninggalkan kesan amat mendalam kepada umat Islam di negara ini.
“Insya-Allah, kami berharap dapat kembali bertemu di Kaherah atau Kuala Lumpur bagi meneruskan ikhtiar dakwah dan pengembangan ilmu demi kemaslahatan umat sejagat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut berkesempatan berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin (Council of Muslim Elders), Mohamed Abdelsalam malam tadi yang turut bertanyakan khabar dan mendoakan kesihatannya.
Menurutnya, perbualan itu turut menyentuh hasrat Sheikh al-Azhar untuk kembali mengunjungi Malaysia, selain beberapa usaha baharu bagi memperkukuh hubungan Malaysia dengan al-Azhar serta menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
Anwar berkata, beliau amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed serta Sheikh al-Azhar, selain tersentuh dengan penghargaan diberikan kepada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan beliau.
“Insya-Allah, segala ikhtiar dan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


