KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr. P. Ramasamy mendakwa kerajaan Perlis pimpinan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sikap tidak bertoleransi terhadap rumah ibadat bukan Islam susulan perobohan sebuah kuil Hindu di Kangar.
Beliau berkata, Kuil Sri Veera Maha Kaliammal di Bukit Lagi dilaporkan dirobohkan pihak berkuasa negeri pada 20 Ogos lalu selepas rundingan antara kerajaan negeri dan jawatankuasa kuil gagal mencapai penyelesaian.
Menurut Ramasamy, beliau difahamkan kerja perobohan sebelum itu telah ditangguhkan beberapa kali bagi memberi ruang kepada pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian.
“Kerajaan negeri Perlis pimpinan PN telah membuktikan tanpa keraguan bahawa ia mempunyai sedikit atau tiada toleransi terhadap rumah ibadat bukan Islam.
“Apa yang saya faham ialah kuil tersebut
mungkin terletak di atas tanah kerajaan negeri tanpa kelulusan. Persoalannya, mengapa pihak berkuasa negeri tidak menyediakan tapak alternatif untuk kuil tersebut?” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Ramasamy mengakui dari sudut undang-undang, kuil berkenaan mungkin dianggap tidak sah kerana tidak mempunyai kelulusan diperlukan.
Bagaimanapun, katanya, kewujudan kuil itu selama bertahun-tahun serta sensitiviti agama masyarakat bukan Islam sepatutnya diambil kira sebelum tindakan perobohan dilaksanakan.
“Jika kuil-kuil Hindu hendak dihapuskan serta-merta hanya kerana dikatakan tidak sah, maka tiada penghujung kepada usaha merobohkan kuil dan tempat-tempat pemujaan di negara ini,” katanya.
Beliau turut mendakwa tindakan berkenaan memberi gambaran mengenai pendekatan yang mungkin diambil sekiranya PN atau PAS memperoleh kuasa lebih besar di negeri lain atau di peringkat Persekutuan.
“Jika PN berkuasa di negeri-negeri lain, lebih banyak rumah ibadat bukan Islam mungkin akan berdepan dengan ancaman perobohan,” dakwanya.
Ramasamy turut mempersoalkan program keharmonian antara agama yang dianjurkan PAS, sambil mendakwa ia tidak membawa makna sekiranya isu membabitkan rumah ibadat bukan Islam tidak ditangani secara lebih berperikemanusiaan.
Katanya, Perlis meskipun sebuah negeri kecil sepatutnya mampu mempertimbangkan pemberian tapak alternatif kepada jawatankuasa kuil terbabit.
Dalam kenyataan sama, Ramasamy turut mempersoalkan keberkesanan program Dharma Madani dalam membantu kuil Hindu tidak berdaftar.
“Dalam hal ini, soalan saya kepada para pembodek dalam DAP, PKR dan Amanah adalah mudah: apa sudah terjadi kepada program Dharma Madani yang diwujudkan dengan penuh gembar-gembur untuk membantu kuil-kuil Hindu yang tidak berdaftar di negara ini?” katanya.
Ramasamy turut membangkitkan semula isu pemindahan sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur yang sebelum ini mencetuskan polemik, sambil mengkritik pendirian kerajaan dalam menangani perkara berkenaan.
Beliau menyifatkan perobohan kuil di Perlis sebagai tindakan yang keras terhadap komuniti Hindu di negeri itu, khususnya masyarakat India berpendapatan rendah yang menurutnya sering mengunjungi kuil berkenaan.
“Amat memalukan kerajaan Perlis merobohkan sebuah kuil Hindu yang tidak berdaya mempertahankan diri dan yang sering dikunjungi oleh masyarakat India miskin di kawasan sekitarnya.
“Ia merupakan satu tindakan yang memalukan dan kejam terhadap komuniti Hindu yang kecil dari segi jumlah penduduk di negeri tersebut,” katanya.
Ramasamy seterusnya mendakwa masa depan rumah ibadat bukan Islam semakin tidak menentu sekiranya kerjasama politik antara PN dan UMNO terus mengukuh. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Prof. Dr. Ramasamy



