KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta orang ramai mendoakan dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang dapat ditemui dengan selamat.
Menurutnya, beliau berharap kedua-dua pelajar itu iaitu Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad masing-masing ditemui semula dan dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Medi melaporkan, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar meminta bantuan orang ramai mengesan dua pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak 11 Ogos lalu.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh guru mengenai kehilangan kedua-dua remaja terbabit pada pukul 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Remaja pertama dikenali sebagai Siti Nur Aaira Aidi, 16, mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan berat 50 kilogram, berkulit gelap dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Remaja kedua pula dikenali sebagai Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, mempunyai ketinggian dan berat sama serta berkulit cerah, dan alamat terakhir Nur Aisy Humaira adalah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MYNEWSHUB


