JOHOR BAHRU – Calon parti BERSAMA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai lalu, Lau Yi Leong mendedahkan jumlah keseluruhan perbelanjaan kempen beliau sebanyak RM51,511.94.
Menurut beliau, sebanyak RM21,380.21 ditanggung secara langsung pihaknya, manakala RM30,131.73 lagi dibelanjakan secara langsung oleh parti BERSAMA.
Beliau turut memaklumkan RM20,910 daripadanya termasuk hasil sumbangan orang ramai termasuk sumbangan tunai RM2,090 yang dikumpulkan semasa ceramah di Taman Molek.
Beliau berkata, antara perbelanjaan yang ditanggung secara langsung oleh pihaknya termasuk elaun kepada petugas kempen berbayar termasuk kerja memasang bendera dan kerja berkaitan berjumlah RM7,545.20.
“Perbelanjaan bahan api RM267.57, percetakan risalah dan bahan kempen lain RM2,073.50, alat tulis RM310.20, sewa pejabat kempen pilihan raya RM3,750.00, penginapan untuk para sukarelawan RM5,168.04.
“Perbelanjaan pelbagai termasuk makanan dan air minuman untuk para sukarelawan, pakaian berkaitan kempen serta bekalan lain RM2,265.70,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Yi Leong berkata, sebanyak RM30,131.73 yang dibelanjakan secara langsung oleh BERSAMA bagi pihaknya merangkumi sewa trak kancil, pembelian bendera parti dan batang buluh, percetakan risalah dan bahan kempen lain, sewa sistem pembesar suara dan kerusi serta perbelanjaan lain yang berkaitan dengan kempen.
“Dengan mengambil kira semua perbelanjaan tersebut, jumlah keseluruhan perbelanjaan pilihan raya yang ditanggung oleh kempen saya dan BERSAMA ialah RM51,511.94,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lau Yi Leong


