KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membahaskan isu Tabung Haji (TH) di Parlimen hari ini didakwa mencerminkan DAP sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Senator DAP, RA Lingeshwaran berkata, Rayer sebagai penganut Hindu dan wakil daripada DAP tampil membangkitkan isu yang melibatkan kepentingan serta wang umat Islam khususnya para pendeposit Tabung Haji.
“Inilah wajah sebenar DAP sebagai sebuah parti multiras, memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dewan Rakyat hari ini meneruskan sidang khas berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji meskipun tanpa kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lingeshwaran seterusnya menyatakan rasa bangga apabila nama Penasihat DAP, Lim Guan Eng disebut dalam konteks usaha menyelamatkan Tabung Haji dalam sidang khas Dewan Rakyat tersebut.
“Syabas dan tahniah, YB Lim Guan Eng. Berbangga melihat nama YB disebut dalam konteks usaha menyelamatkan Tabung Haji.
“Begitu juga bangga dengan YB RSN Rayer kerana hari ini beliau bersuara mengenai kepentingan kewangan umat Islam di Parlimen.
“Inilah Malaysia yang kita mahu tanggungjawab, amanah dan perjuangan untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Lingesh RA



