KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan kemudahan bayaran ansuran untuk ibu bapa membeli pakaian seragam sekolah untuk anak-anak bukan bantuan.
Menurutnya, beliau berasa sukar untuk memahami apabila kemudahan bayaran ansuran untuk ibu bapa membeli pakaian seragam sekolah anak-anak itu disebut sebagai
Inisiatif membantu rakyat.
“Saya tak faham. Adakah ini dipanggil Inisiatif membantu rakyat? Saya berpandangan kerajaan sepatutnya gunakan data yang ada untuk salurkan bantuan khusus kepada mereka yang amat memerlukan.
“Kerajaan kata nak ringankan beban ibu bapa, tetapi kalau penyelesaiannya ialah ansuran, bukankah itu bermaksud ibu bapa masih perlu membayar dan menambah hutang?
“Dengan kata lain beban ditangguhkan, bukan dikurangkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad dalam satu hantaran pula menyarankan kerajaan mengawal harga pakaian seragam sekolah berbanding menyediakan kemudahan bayaran ansuran kepada ibu bapa.
Beliau menerusi satu hantaran di media sosial melontarkan pandangan supaya pakaian seragam sekolah juga dikategorikan sebagai barangan kawalan harga.
“Cadangan kedua yang lebih menarik. Kerajaan syorkan kepada para pengilang keluarkan jenama ‘Uniform Sekolah Madani’. Uniform sekolah mampu milik.
“Ini jauh lebih baik dari didik rakyat berhutang untuk tujuan berbelanja pakai habis,” katanya. – MYNEWSHUB


