KUALA LUMPUR – Hindu Task Force mempersoalkan Pemuda PAS Lembah Pantai kerana didakwa cuba mencetuskan polemik berhubung isu kuil di tepi Lebuhraya NPE.
Hindu Task Force dalam satu kenyataan media mempersoalkan apakah sebenarnya masalah Pemuda PAS Lembah Pantai berhubung isu berkenaan.
“Apakah sebenarnya masalah anda? Adakah kuil tersebut dibina di atas tanah milik keluarga anda?
“Jika tidak, mengapa perlu mengeluarkan kenyataan dan menghasilkan video yang boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat?” menurut kenyataan itu yang di muat naik di sebuah laman media sosial hari ini.
Menurut Hindu Task Force, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, laporan rasmi perlu dibuat kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Tidak perlu mengeluarkan kenyataan atau video yang boleh mencetuskan ketegangan dan spekulasi dalam masyarakat,” katanya.
Hindu Task Force berkata, isu berkaitan kuil tersebut sedang diteliti pihaknya.
“Perbincangan juga sedang dijalankan bersama pertubuhan-pertubuhan Hindu yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Hindu Task Force menasihatkan Pemuda PAS Lembah Pantai memberi tumpuan khidmat kepada rakyat dan tidak cuba mewujudkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
“Hindu Task Force memberi amaran agar semua pihak menghormati proses undang-undang, mengelakkan provokasi, dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Vetri Online



