KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memaklumkan beliau bersama kakitangannya menghadiri satu mesyuarat berhubung cadangan pelebaran jajaran baharu di Jalan Mas bagi mencari penyelesaian supaya Kuil Sri Sakhti Nageswary Amman yang terletak dalam rizab jalan raya tidak perlu dirobohkan.
Menurut beliau menerusi satu hantaran di media sosial, kawasan berkenaan merupakan sempadan antara Parlimen Seputeh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.
Katanya, pelebaran jalan itu perlu dilaksanakan berikutan sebuah kondominium berkepadatan tinggi telah siap dibina, sekali gus menyebabkan pertambahan jumlah trafik yang melalui laluan tersebut.
Beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL dan dihadiri pelbagai agensi kerajaan.
Selain DBKL, Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Kuala Lumpur, mesyuarat turut disertai pegawai daripada PTG Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta wakil pemaju Fajarbaru Land Sdn. Bhd. bagi projek Vierra Residence.
Teresa Kok berkata, Exco Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han serta wakil kepada Gobind Singh Deo turut menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurutnya, perbincangan berjalan lancar dengan semua pegawai agensi kerajaan yang terlibat menyatakan kesediaan untuk mengatasi isu berkenaan.
Beliau berkata akan terus memantau perkembangan perkara itu bagi memastikan projek pelebaran jalan dapat dilaksanakan dalam tahun ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Teresa Kok


