KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa parti itu memperoleh sokongan sekitar 20 hingga 25 peratus pengundi Melayu Negeri Sembilan.
Menurut beliau, DAP secara keseluruhan meraih 47 peratus undi termasuk sokongan daripada pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu.
“Dan saya bangga untuk mengatakan bahawa kami masih menang 47 peratus termasuk 20 hingga 25 peratus daripada pengundi Melayu.
“Jadi, walaupun kami kurang beberapa ratus pengundi, kurang tiga peratus, itu adalah proses demokratik.
“Kami menghormati itu. Tidak ada penyesalan dalam berlawan. Kami mati berlawan,” katanya pada satu sidang media.
Dalam pada itu, Anthony Loke menegaskan DAP telah memberikan sumbangan terbaik kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya tersebut.
Menurutnya, keputusan DAP di Negeri Sembilan masih boleh dianggap baik apabila parti itu berjaya mengekalkan sembilan daripada 11 kerusi yang ditandingi.
“Kita membuat terbaik untuk kitalah. Untuk parti DAP, kita menyumbang kepada keseluruhan Pakatan Harapan.
“Seperti yang dikatakan, di Negeri Sembilan sebenarnya keputusan kita boleh dikatakan masih baik. Walaupun saya tewas di Chennah dengan 600 undi.
“Tetapi dalam keadaan di mana rakan-rakan kita tewas kecundang di kebanyakan kerusi, DAP masih mengekalkan sembilan daripada 11 kerusi,” katanya. – MYNEWSHUB


