KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon melahirkan rasa kesal dengan tuduhan Pakatan Harapan (PH) konon Barisan Nasional (BN) menang dengan isu perkauman.
Menurut beliau, DAP sendiri berulang kali bermain dengan isu perkauman, malah menakutkan pengundi bukan Melayu terhadap MCA dengan menggunakan nama PAS.
“Kalau awak dengar betul-betul ceramah mereka, yang mainkan isu agama dan kaum itu mereka. Takut-takutkan orang Cina.
“Tak boleh pakai seluar pendek. Orang Cina dah tak ada tempat. Itulah perkauman,” katanya ketika dihubungi Mynewshub hari ini.
Justeru, Sin Woon membidas pemimpin PH,
Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun kerana mendakwa konon PH kalah kerana perkauman.
“Apa punya analisis? Mereka masih lagi dalam ‘state of denial’. Masih menolak bahawa mereka tidak mendapat sokongan (majoriti) rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


