JELEBU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sejarah penyatuan terbesar rakyat Negeri Sembilan akan dapat disaksikan esok.
Kata beliau, penyatuan rakyat Negeri Sembilan akan menyaksikan kekuatan ummah bersama-sama kaum lain mengembalikan kemakmuran dan kestabilan politik di negeri ini.
“Tarikh 1 Ogos sebagai detik penting yang bakal menjadi catatan sejarah kepada perjuangan politik di Negeri Sembilan. Kita bersetuju untuk memulakan sejarah penyatuan ini di bumi bertuah Negeri Sembilan.
“Itulah sejarah yang akan dikenang oleh generasi akan datang, insya-Allah,” kata calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang itu semalam.
Terdahulu, Jalaluddin berkata, beliau apabila diberi mandat sebagai Pengerusi UMNO Negeri merancang supaya orang Melayu jangan berpecah tanpa mengenepikan masyarakat Cina, India dan Orang Asli.
Menurut Jalaluddin, suara akar umbi mahukan penyatuan dalam kalangan parti-parti Melayu sebenarnya lahir daripada keinginan melihat umat Islam kembali bersatu.
Dalam masa sama, katanya, pengalaman mentadbir membuktikan BN sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dengan mengambil kira kebajikan dan kepentingan semua lapisan masyarakat.
“Insya-Allah, jika penyatuan ini berjaya kita mulakan di negeri bertuah ini, negara juga akan dipimpin melalui ikatan penyatuan yang sama.
“Kita berdoa kepada Allah SWT agar penyatuan ini tidak terhenti di tengah jalan. Biarlah ia bermula di Negeri Sembilan, diikuti negeri-negeri lain dan akhirnya diterjemahkan di peringkat Persekutuan,” katanya. – MYNEWSHUB


