Oleh Mynewshub
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju supaya Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 diklasifikasikan semula dan didedahkan kepada umum pada hari ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan meneliti laporan berkenaan.

Menurutnya, laporan tersebut juga akan dibentangkan serta dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan hampir 75 peratus daripada syor tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jemaah Menteri turut mengambil maklum pengumuman TH mengenai kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Menurut kenyataan itu, kadar berkenaan menunjukkan pengurusan TH kini berada dalam keadaan yang lebih baik.
Dalam perkembangan sama, Jemaah Menteri memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan dapatan laporan RCI itu diteruskan dengan segera.
Kerajaan menegaskan, mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.
“Pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang,” menurut kenyataan tersebut. –MYNEWSHUB
